
Aku mulakan lakaran hatiku dengan basmallah. Tika aku terlihat lukisan pemadangan ini aku teringat akan diriku ini, kemanakah hala tujuku?
Air itu terjun dari puncak, mengalir dan terus mengalir, lautan adalah pengakhirannya. Ada air yang tidak sempat tiba di lautan, makhluk Allah lain yang mengambil manfaatnya umpama tumbuhan, haiwan dan manusia. Kadang-kadang air yang suci lagi bersih itu dicemari dengan perkara jijik. Begitulah dugaan air yang pada mulanya suci bersih namun dipertengahan jalan telah dicemari samada dengan air yang kotor mahupun dengan bahan buangan yang kotor. Air yang turun dari awan berada dalam keadaan suci bersih, namun apabila tiba di muka bumi adakah akan selamat dari dicemari atau selamat sehingga di lautan? Jawapannya tidak akan selamat sama sekali. Setiap air yang mengalir pasti akan dicemari, walaupun dicemari namun masih boleh memberi mafaat kepada semua makhluk Allah.
Aku terfikir dan terus berfikir jikalah diumpamakan aku dengan air ini apakah pengajaran buat diriku yang dalam keserabutan ini?
Aku dilahirkan dari keluarga Islam dan mendapat pendidikan Islam semenjak dari kecil lagi. Itu waktu kecil ku, sekarang aku meningkat remaja namun gerbang perkahwinan agak jauh buat diriku ini. Walau jauh namun ajal tiada sesiapa yang tahu. Aku harus bersedia untuk membimbing diri dari dicemari walau dari makhluk sejenis mahupun makhluk Allah yang lain. Biarlah aku dapat memberi manfaat kepada semua makhluk janganlah aku dicemari oleh makhluk lain. Ketentuan Allah tiada sesiapa yang tahu, namun aku perlu berusaha untuk menghindari dari dicemari.
Adakah aku harus menjadi seperti air itu yang pada asalnya suci bersih namun dipertengahan dicemari? Adakah aku harus berserah pada takdir semata-mata tanpa berusaha untuk berada di jalan yang lurus dan dapat memberi manfaat kepada semua makhluk? Ya Allah peliharalah aku dari dicemari oleh perkara yang boleh merosakkan aku, wahai sahabat handaiku, bimbinglah aku supaya menjadi orang yang berada di atasNya dan dapat memberi mafaat kepada semua makhluk Nya.
Masa terus berlalu, umur makin meningkat, namun usia semakin hari semakin berkurangan. Apakah persediaan aku menghadapi kematian? Jika masih belum bersedia bila mahu mula bersedia?Saat kematian tidak boleh ditukar waktunya. Saat dan lokasi kematian adalah yang paling tepat dan tetap. Oleh itu wahai diriku, beramalah untuk bekalan di sana nanti.
Aku melakar potongan-potongan ayat sehingga menjadi sebuah karya dikala aku dilanda ombak keserabutan yang entah datangnya dari mana. Lakaran ini menjadi penenang buat hatiku dikala tiada sesiapa yang mahu mengambil tahu diriku. Ayahku berpesan kepada ku, jika dalam keserabutan dan tiada peneman, tenangkan fikiran dengan melihat pemandangan dan lakarkanlah potongan ayat agar menjadi karya dan agar karya itu menjadi kenangan manis untuk masa depan.